Wednesday, November 2, 2011

Kebudayaan Negeri Melaka

Kebudayaan Melaka bermula lebih daripada enam kurun dimana pelbagai adat etnik dan tradisi diadun sempurna. Kehidupan aman rakyat Melaka berpunca daripada kehidupan pelbagai kaum yang telah melahirkan orang-orang Melayu, Cina, India, Baba dan Nyonya, Portugis, Chitty dan Eurasia. Setiap kumpulan etnik ini memberi citarasa yang berbeza rakyat Melaka yang terkenal sebagai rakyat yang peramah.

Setiap kaum ini memegang teguh tradisi mereka dan ini dapat dilihat melalui makanan, adat keagamaan, festival, budaya, rekabentuk, pemakaian, barang kemas dan kraftangan.

Hari ini Melaka mempunyai banyak perkara untuk ditawarkan kepada pelancong seperti budaya, adat istiadar, tempat-tempat bersejarah, festival keagamaan, sambutan perayaan tradisional di bandar Melaka serta Alor Gajah dan Jasin.

Organisasi sosial orang Melayu di Melaka dibahagikan kepada dua iaitu mereka yang mengikut Adat Temenggong iaitu si isteri mengikut keluarga si suami dan Adat Perpatih, dimana si suami mengikut keluarga si isteri.
Wanita Melayu memakai pakaian yang longgar dan berlengan panjang yang dinamakan baju kurung dan dipakai bersama kain sarung atau baju yang sedikit ketat yang dinamakan baju kebaya. Lelaki Melayu memakai baju Melayu yang dipakai bersama seluar yang longgar berserta dengan kain yang dikenali sebagai samping yang diikat di pinggang. Untuk majlis perkahwinan dan kenduri, kain songket akan digunakan sebagai kain samping. Tradisi dan karakter lain orang Melayu digambar dalam lagu seperti Dondang Sayang Melayu dan seni mempertahankan diri seperti Silat Melayu.

Kaum Cina datang ke Melaka semenjak perpindahan beramai-ramai orang Cina dari propinsi Selatan di negara Cina. Kaum-kaum seperti Hokkien, Cantonese, Hakka, Teochew dan Hainanese masih mengikut adat istiadat, tradisi, makanan, bahasa dan ciri-ciri kebudayaan mereka.

Kaum India di Melaka adalah orang Tamil dari India Selatan dimana mereka mendiami ladang getah. Walaubagaimanapun, ada juga diantara mereka yang bekerja dalam perniagaan barang kemas, fabrik, peniaga runcit, pedagang dan peminjam wang.

Baba dan Nyonya di Melaka adalah Cina Peranakan dimana nenek moyang mereka telah datang dan berkahwin dengan wanita tempatan. Perkahwinan campur seperti ini telah melahirkan budaya Cina yang unik serta tradisi Melayu.
Kaum Baba dan Nyonya telah memperkenalkan perabut unik, porselin dan pinggan mangkuk, cara pemakaian dan makanan lazat yang hanya boleh dijumpai di Melaka. Kaum Nyonya memakai sarung kebaya dengan "brooch" berbagai bentuk dan barang kemas yang diperbuat daripada perak atau emas.
Seperti juga Baba dan Nyonya, Melaka mempunyai komuniti kecil yang dipanggil Chitty iaitu orang peranakan yang berketurunan India atau anak-anak pedagang India yang berkahwin dengan wanita Melayu. Kampung mereka dikenali sebagai Kampung Chitty dan terletak ke arah barat Jalan Gajah Behrang, satu kilometer daripada barat laut Chinatown. Jalan masuk ke kampung ini dihiasi dengan ukiran gajah bersebelahan dengan Kuil Mutamariman. Seperti juga Kampung Morten, ia adalah kawasan yang indah untuk dilawati dan melihat rumah-rumah kampung yang bercirikan kampung Melayu. Waktu yang terbaik untuk melawat adalah ketika Festival Mariamman atau Pesta Datuk Char-char pada bulan Mei. Ia adalah pesta Hindu dimana anda mungkin berpeluang untuk menyaksikan upacara perkahwinan tradisional kaum India.

Melaka adalah satu-satunya negeri yang mempunyai penempatan Portugis yang diasaskan pada tahun 1930. Penduduknya menamakan tempat ini Padre Sua Chang (Tanah Paderi) sempena dengan pengasasnya. Masyarakat yang tinggal di sini adalah orang Eurasia berketurunan Portugis yang hidup sebagai nelayan. Orang Portugis mengamalkan agama Katolik dan bercakap bahasa Cristang atau Cristao.

Kaum Portugis di Melaka menyediakan kehidupan tradisional, bahasa, adat resam dan musik yang ternyata unik. Tariannya yang paling popular adalah Beranyo dan Frapeirra. Festival Kristian juga di sambut dengan hebat termasuk Hari Krismas, Pesta San Pedra dan Easter.

Tempat-tempat keagamaan yang boleh dilawati termasuk Gereja Christ, Gereja St. Paul, Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi, Masjid Kampung Kling, Tokong Cheng Hoon Teng, Masjid Kampung Hulu, Gereja St. Peter, Kuil Sam Poh Kong dan Masjid Tengkera.

No comments:

Tempahan Online

Free availability calendar by shared-house.com